Monday, May 28, 2012

Lagu ‘Bawaku Pergi’ Diharamkan???


            Dalam beberapa minggu yang lalu, kontroversi pengharaman karya muzik berlaku terhadap lagu berjudul ‘Bawaku Pergi’ nyanyian Zizan Raja Lawak bersama pendatang baharu, Kaka. Lagu ciptaan Malique disifatkan terpesong daripada budaya apabila lirik-liriknya didakwa mengandungi unsur-unsur negatif yang boleh mengalakkan lagi kes lari dari rumah di kalangan remaja seterusnya mengundang gejala sosial seperti hamil luar nikah seperti yang dihebahkan kini. Lagu tersebut juga menerima arahan agar diberhentikan atau dalam erti kata lain diharamkan ke udara di corong-corong radio dan juga di kaca televisyen. Namun pendapat itu disangkal oleh ramai pihak terutamanya masyarakat kita sendiri. Adakah hanya dengan mendengar lagu, remaja akan lari rumah? Bagaimana pula dengan lagu-lagu Barat lain yang lebih teruk, yang mengandungi unsur-unsur negatifnya masih dimainkan di negara kita ini, tidak diharamkan pula. Mengapa? Adakah kerana keputusan dilakukan oleh individu atau panel yang tidak adil, cetek dan hanya berkepentingan politik semata-mata? Siapa yang sebenarnya negatif dalam isu ini? Wahai rakyat, tepuk dada, tanya hati. 
            Atas lesen kreatif, penggiat seni sering mendambakan kebebasan berkarya yang tiada sekatan. Bagaimanapun, kebebasan secara total sudah tentu tidak praktikal dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Jika sesebuah karya itu dirasakan melanggar batas sosial, agama, bangsa serta menimbulkan ketidakpuasan banyak pihak, pengharaman oleh pihak berkuasa menjadi jalan terakhir. Jika lagu itu diharamkan, tanpa disoal, tanpa dibicara, penggiat seni harus menuntut keadilan dari pihak berwajib yang telah menghukum rakyatnya dan menidakkan hak dan kebebasan seseorang untuk bersuara dan berkarya. Jika tidak, dimanakah sebenarnya hak-hak berkarya penggiat seni kita sendiri?
            Dalam hal ini, pihak berwajib adalah manusia yang negatif, lemah dan sangat senang dibunuh dengan kata-kata. Mereka sepatutnya menjadi juri terhadap lirik lagu tersebut supaya membaca liriknya sebagai seorang yang matang. Tidak sangka pula, pihak berwajib telah bertindak mengharamkan lagu itu atas dasar satu pendapat sahaja. Orang yang patut diharamkan adalah orang yang mengusul perkara ini. Adakah perkara ini sesuatu idea yang bernas, jika ibu bapa sudah membesarkan anak selama 20 tahun tapi hanya dengan mendengar lagu selama empat minit, mereka sudah lari rumah? Bukan semua benda dalam dunia ini berniat mudah dipengaruhi tanpa usul periksa. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai.
           Kita percaya kepada kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan dan pendapat masing-masing. Akan tetapi mereka yang membuat keputusan seharusnya tidak terus menghentam, kerana ini bukan sahaja akan mencalarkan imej mereka sebagai pihak yang dihormati dan disegani, malahan perkara ini akan menjejaskan periuk nasi penggiat-penggiat seni. Mereka tidak seharusnya menggunakan hak mereka biarpun sekadar menaburkan fitnah dengan memperbesar-besarkan isu berkenaan untuk kepentingan peribadi dan politik mereka semata-mata. Tanpa perbicaraan, tanpa peluang tertuduh untuk membela diri, lagu tersebut ditindas dengan begitu sahaja. Adilkah begini? 
        Kesimpulannya, pihak berwajib haruslah membuat keputusan dengan menggunakan akal, bukan dengan membuat keputusan yang hanya akan mengelirukan pemikiran sesetengah rakyat. Pihak yang mengadu dan menggesa pengharaman lagu perlu memberikan alasan yang kukuh dari sudut sosial, agama dan kepercayaan atau lain-lain aspek yang mereka rasakan wajar. Sesebuah lagu itu perlu diteliti terlebih dahulu oleh jawatankuasa panel penilai sebelum tindakan pengharaman penyiaran diambil. Isu lagu ini perlu diselesaikan dengan bukti dan kajian terperinci, bukan dengan emosi dan kepentingan politik semata-mata. Manusia dikurniakan akal fikiran yang cukup sempurna. Jadi gunakanlah ia dengan sebaik mungkin. Ya atau tidak, semuanya di tangan anda.

No comments:

Post a Comment