Tuesday, May 29, 2012


Debat PTPTN : SIAPA MENANG, SIAPA KALAH???

            Rabu lalu bersamaan 23 haribulan 5, berlangsungnya debat isu PTPTN yang mana menampilkan dua orang pemimpin muda yang satunya dari parti kerajaan merupakan kegilaan setiap wanita dan seorang lagi parti pembangkang yang cukup bijak berkata-kata dalam membidas setiap apa yang diperkatakan namun hanya auta semata. Memang cukup hebat debat isu PTPTN yang mana masing-masing berhujah, tapi sayang bila debat yang sepatutnya menjelaskan mengenai isu PTPTN gagal didebatkan secara profesional oleh pendebat dari parti pembangkang. Beliau cuba berceramah politik diatas pentas debat dengan mengeluarkan cerita auta dan bukannya fakta bagi menyaingi pencabarnya dari parti kerajaan. Adakah kualiti PR begini yang ingin kita pilih untuk memerintah Malaysia? Tepuk dada, Tanya iman..

            Dalam debat tersebut, pihak pembangkang menjustifikasikan pemansuhan PTPTN dengan berhujah bahawa PTPTN merupakan beban kewangan kepada negara di masa depan. Beliau berhujah tanpa menggunakan akal pada masa itu. Sebab beliau tidak fikir yang keadaan ekonomi negara ini sentiasa maju ke hadapan dan yang sentiasa maju ke belakang ialah amalan homoseksual ketua parti pembangkang mereka sahaja. Seterusnya beliau menuduh bahawa semua mahasiswa ni ‘bodoh piang’ sebab tidak boleh mencari pekerjaan dengan gaji lumayan. Memang sudah sah-sah beliau ini, berhujah berdasarkan pemikiran orang kolot!

            Parti pihak kerajaan boleh tahan juga walaupun mengelak menjawab soalan pihak pembangkang mengenai bapa mertuanya. Kira beliau mampu menjawab balik dan memberikan sebab yang agak-agak munasabah dengan sikit sipi-sipi untuk di terima akal. Adakalanya pihak pembangkang membalun pihak kerajaan dan adakalanya beliau membalun pihak pembangkang.

            Sebenarnya, isu pemansuhan PTPTN ini adalah isu sasaran pihak parti pembangkang apabila ketua yang mereka agung-agungkan itu begitu teruja di atas pentas mahu bercakap berkenaan dengan pendidikan percuma gara-gara berkempen untuk ‘BUSUK 3.0’ setelah kempen ANTI PTPTN oleh kudanya gagal menarik penyertaan ramai mahasiswa lain yang sibuk mengejar kecemerlangan bagi mendapatkan pengecualian pembayaran PTPTN dengan memperolehi Ijazah Kelas Satu dengan kepujian.

            Secara amnya, PTPTN sebenarnya bukan isu pun. Skim ini tidak dipaksakan ke atas mana-mana mahasiswa pun. Siapa nak ambil sila lah. Siapa tidak mahu, tiada paksaan ke atas mereka. Jadi ini bukan isu melainkan sekadar senda gurau politik bingai dalam budaya politik baru yang amat tolol.

            Persoalan sebenarnya disini ialah bagaimana mahasiswa hendak mencapai kecemerlangan dalam pengajian mereka dan memperolehi ijazah kelas Pertama dengan kepujian jika pakatan asyik menghasut mahasiswa berdemo di jalanan? Bagaimana mereka hendak mencari pekerjaan dan membuat perancangan untuk kerjaya mereka jika asyik di kacau dan diganggu oleh hantu-hantu parti pembangkang di kampus? Renung-renungkanlah..

            Rakyat Malaysia diharapkan tidak diperbodohkan dengan janji retorik pemimpin pembangkang kerana jika benar mereka ikhlas membela rakyat sudah pastinya mereka akan bersama sama kerajaan memikirkan jalan yang elok demi kebaikan rakyat dan juga negara dan bukannya bertindak menghapuskan hutang yang perlu dibayar bagi membina generasi yang seterusnya. Wahai rakyat sekalian, marilah kita bersama-sama ‘Tepuk dada, Tanya hati’. Moga apa yang diperjuangkan, menjadi manfaat besar buat kita bersama.

Monday, May 28, 2012

Dugaan Jambatan Ke Jalan Lebih Baik...

            Di sini, tepat pukul 3.00 pagi, bersamaan hari Selasa, aku ingin mengisi ruangan yang disediakan khas buat penggemar atau pelayar Myspace, Facebook, Twitter, Blog dan sebagainya terutama pada golongan remaja untuk berkongsi pengalaman yang dilalui sepanjang perjalanan sebagai hambaNya. Keseronokan ada kalanya membawa manusia alpa dan terus terleka di buai rasa-rasa indah yang entah sampai bila ia akan terus kekal. Manusia hanya akan tersedar dari khayalan dan mimpi siang saat duka datang bertamu..
         Seperti apa yang pernah aku lalui, di usia yang masih muda, aku hanyut dan terleka dengan keseronokan yang datang menghiasi hari-hari ini. Perasaan seolah-olah hidup di dalam dunia maya sendiri membuatkan aku tidak pernah terfikir kegembiraan itu tidak akan dirasai buat selamanya. Mungkin apa yang aku lalui ini, sama seperti remaja di luar sana yang sentiasa inginkan kegembiraaan dan keseronokan selagi usia remaja masih meniti kehidupan.
          Mungkin Tuhan ingin membuka mata ini dan cuba menyelamatkan diri ku dengan menurunkan sebentuk dugaan yang memang hebat untuk ditanggung kudrat kecil ku ini. Jika dahulu, kebahagiaan mengiringi hari demi hari ku, tetapi kini dugaan datang bertimpa-timpa yang membuatkan aku semakin hari semakin  lemas. Cuba mencari dahan untuk berpaut tetapi ia bukanlah tempat yang sepatutnya, lantas membuatkan aku terus tersungkur lagi dan lagi.
            Di segenap ruang kecil di kamar, aku menangis kuat dan bertanya kepada diri sendiri, kenapa dan mengapa semua ini berlaku. Kenapa aku yang di duga, kenapa tidak kau, dia, atau mereka? Kenapa aku yang sakit dan bukan dia? Bukan niat menyalahkan takdir tetapi sekadar cuba membawa pemikiran berfikir secara logik. Tuhan tidak akan menguji kita tanpa sebarang sebab.
          Akhirnya aku akui, dugaan yang perit itu sebenarnya adalah jambatan-jambatan kecil buat aku menuju ke jalan yang lebih baik. Selepas dari kejadian-kejadian itu, aku cuba menerima dugaan-dugaan hati yang lebih terbuka dan sentiasa berfikiran positif. Ia ternyata mampu memberikan motivasi buat diri untuk menjadi lebih baik dari apa yang pernah di lalui sebelum ini.
            Sebagai manusia yang pernah melalui zaman remaja, mungkin aku memahami naluri remaja yang sentiasa ingin mencuba, bergembira dan berseronok. Tidak ada salahnya untuk merasai dan menikmati kegembiraan dan keseronokan, tetapi batas-batasnya tetap harus di jaga agar kita manusia yang merupakan hambaNya tidak terus terleka dek kerana keseronokan duniawi yang dinikmati. Amin....

Lagu ‘Bawaku Pergi’ Diharamkan???


            Dalam beberapa minggu yang lalu, kontroversi pengharaman karya muzik berlaku terhadap lagu berjudul ‘Bawaku Pergi’ nyanyian Zizan Raja Lawak bersama pendatang baharu, Kaka. Lagu ciptaan Malique disifatkan terpesong daripada budaya apabila lirik-liriknya didakwa mengandungi unsur-unsur negatif yang boleh mengalakkan lagi kes lari dari rumah di kalangan remaja seterusnya mengundang gejala sosial seperti hamil luar nikah seperti yang dihebahkan kini. Lagu tersebut juga menerima arahan agar diberhentikan atau dalam erti kata lain diharamkan ke udara di corong-corong radio dan juga di kaca televisyen. Namun pendapat itu disangkal oleh ramai pihak terutamanya masyarakat kita sendiri. Adakah hanya dengan mendengar lagu, remaja akan lari rumah? Bagaimana pula dengan lagu-lagu Barat lain yang lebih teruk, yang mengandungi unsur-unsur negatifnya masih dimainkan di negara kita ini, tidak diharamkan pula. Mengapa? Adakah kerana keputusan dilakukan oleh individu atau panel yang tidak adil, cetek dan hanya berkepentingan politik semata-mata? Siapa yang sebenarnya negatif dalam isu ini? Wahai rakyat, tepuk dada, tanya hati. 
            Atas lesen kreatif, penggiat seni sering mendambakan kebebasan berkarya yang tiada sekatan. Bagaimanapun, kebebasan secara total sudah tentu tidak praktikal dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Jika sesebuah karya itu dirasakan melanggar batas sosial, agama, bangsa serta menimbulkan ketidakpuasan banyak pihak, pengharaman oleh pihak berkuasa menjadi jalan terakhir. Jika lagu itu diharamkan, tanpa disoal, tanpa dibicara, penggiat seni harus menuntut keadilan dari pihak berwajib yang telah menghukum rakyatnya dan menidakkan hak dan kebebasan seseorang untuk bersuara dan berkarya. Jika tidak, dimanakah sebenarnya hak-hak berkarya penggiat seni kita sendiri?
            Dalam hal ini, pihak berwajib adalah manusia yang negatif, lemah dan sangat senang dibunuh dengan kata-kata. Mereka sepatutnya menjadi juri terhadap lirik lagu tersebut supaya membaca liriknya sebagai seorang yang matang. Tidak sangka pula, pihak berwajib telah bertindak mengharamkan lagu itu atas dasar satu pendapat sahaja. Orang yang patut diharamkan adalah orang yang mengusul perkara ini. Adakah perkara ini sesuatu idea yang bernas, jika ibu bapa sudah membesarkan anak selama 20 tahun tapi hanya dengan mendengar lagu selama empat minit, mereka sudah lari rumah? Bukan semua benda dalam dunia ini berniat mudah dipengaruhi tanpa usul periksa. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai.
           Kita percaya kepada kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan dan pendapat masing-masing. Akan tetapi mereka yang membuat keputusan seharusnya tidak terus menghentam, kerana ini bukan sahaja akan mencalarkan imej mereka sebagai pihak yang dihormati dan disegani, malahan perkara ini akan menjejaskan periuk nasi penggiat-penggiat seni. Mereka tidak seharusnya menggunakan hak mereka biarpun sekadar menaburkan fitnah dengan memperbesar-besarkan isu berkenaan untuk kepentingan peribadi dan politik mereka semata-mata. Tanpa perbicaraan, tanpa peluang tertuduh untuk membela diri, lagu tersebut ditindas dengan begitu sahaja. Adilkah begini? 
        Kesimpulannya, pihak berwajib haruslah membuat keputusan dengan menggunakan akal, bukan dengan membuat keputusan yang hanya akan mengelirukan pemikiran sesetengah rakyat. Pihak yang mengadu dan menggesa pengharaman lagu perlu memberikan alasan yang kukuh dari sudut sosial, agama dan kepercayaan atau lain-lain aspek yang mereka rasakan wajar. Sesebuah lagu itu perlu diteliti terlebih dahulu oleh jawatankuasa panel penilai sebelum tindakan pengharaman penyiaran diambil. Isu lagu ini perlu diselesaikan dengan bukti dan kajian terperinci, bukan dengan emosi dan kepentingan politik semata-mata. Manusia dikurniakan akal fikiran yang cukup sempurna. Jadi gunakanlah ia dengan sebaik mungkin. Ya atau tidak, semuanya di tangan anda.

Lirik Bawaku Pergi – Zizan & Kaka



Bawa aku pergi
Pacu laju-laju
Kita lari dari realiti
Bawa aku pergi
Pacu laju lagi
Malah kita
Tak perlu kembali
Tengah malam nanti
Tolong jangan lupa
Jangan mungkir janji
Aku dah teruja
Sudah cukup lama
Aku tunggu saat ini
Sejak kali terakhir kau hantar pulang
Hidup sungguh sepi
Tolong jangan bilang mama
Tolong jangan bilang papa
Malah jangan bilang teman karibmu
Jangan bilang sesiapa

Buku merah jangan lupa bawa
Moga-moga belum tamat tempoh
Kali ini kita pergi lebih lama
Pergi lebih jauh

Chorus
Bawa aku pergi
Pacu laju-laju
Kita lari dari realiti
Bawa aku pergi
Pacu laju lagi
Malah kita
Tak perlu kembali
Mata dalam kaca topi berceloreng
Sarung tangan hitam atas muka ada topeng
Hanya perlu siul tidak tekan loceng
Hero sudah sampai cepat terjun dari loteng
Kita terus ke sempadan aku pacu engkau bonceng
Bawa bekal air muka cuci aib bopeng
Lari dari kewajipan tanggungjawab ponteng
Lari dari kenyataan mula kisah dongeng
Tinggalkan dataran puncak dunia kita duga
Tinggal kemewahan cuba cara hidup purba
Lari-lari baling bola salji depan gua
Sambil cari yeti kita boleh cari (what?)
Tinggalkan dataran puncak dunia kita duga
Tinggal kemewahan cuba cara hidup purba
Lari-lari baling bola salji depan gua
Tidak jumpa yeti moga-moga jumpa syurga

Ulang Chorus
Bila kita pergi
Apa kan berlaku
Siapa kan peduli
Siapa ambil tahu
Hidup kita tempuh
Untuk apa saja
Tidak kira mana kembara membawa
Kita kan bersama
Buku merah jangan lupa bawa
Moga-moga belum tamat tempoh
Kali ini kita pergi lebih lama
Pergi lebih jauh
Buku merah jangan lupa bawa
Moga-moga belum tamat tempoh
Kali ini kita pergi lebih lama
Pergi lebih jauh
Ulang Chorus 2X

Perlukah Tapak Pemprosesan Nadir Bumi Diteruskan?

       Sejak kebelakangan ini, banyak isu ditimbulkan oleh parti pembangkang mengenai tapak pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan melalui akhbar dan media baru. Antara isu yang ditimbulkan termasuk isu pencemaran air dan udara juga isu tahap pencemaran radioaktif. Kita percaya kepada kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan dan pendapat. Pihak pembangkang telahpun menggunakan hak mereka biarpun sekadar menaburkan fitnah dengan memperbesar-besarkan isu berkenaan untuk kepentingan peribadi dan politik mereka. Pihak kerajaan dan pro kerajaan juga dengan bebasnya telah berhempas pulas mempertahankan bahawa kilang tersebut bukanlah reaktor nuklear dan tidaklah sebagaimana bahaya seperti yang digambarkan oleh pembangkang. Namun tentunya ada pihak ke-3, yang juga ingin menggunakan hak-haknya untuk menyatakan pendapatnya dalam negara demokrasi ini. Wahai rakyat mari lah kita ‘buka mata, buka minda, buka hati’.
    Ada yang mengatakan bahawa tapak Gebeng tidak sesuai untuk didirikan kilang kerana ia adalah kawasan paya. Adakah itu benar? Apakah yang mereka faham mengenai kilang tersebut? Adakah benar ia tidak sesuai atau pun memberi manfaat pada rakyat? Dimanakah faktanya? Seperti yang kita tahu, mengenai projek Lynas, sudah tentu ia mencipta kegerunan yang besar terhadap rakyat, khususnya rakyat Kuantan apabila diceritakan bahawa ianya adalah berbahaya dan mendatangkan keburukan kepada rakyat. Tapi sebenarnya, setakat ini, hanya itu sahaja bukti yang pihak pembangkang kemukakan. Tiada kajian saintifik, atau kajian makmal untuk menyokong dakwaan pembangkang. Soalnya, adakah fakta ini diceritakan oleh pembangkang yang asyik dengan lagu ‘kebebasan dan ketelusan media serta kebebasan bersuara’ tapi pada masa yang sama menyekat segala benda ini dari pihak mereka? Mampukah pihak pembangkang mempertahankan pendapat mereka?
       Walaubagaimanapun, apa yang kurang dititikberatkan dalam projek ini ialah keputusan yang dibuat oleh individu untuk mengeluarkan lesen pembinaan kilang tersebut pada tahun 2008 dibuat tanpa pengetahuan orang awam, termasuklah rakyat Pahang itu sendiri. Apabila negara memberikan lesen kepada syarikat luar untuk membuka kilang pemprosesan mereka, harapan kita adalah supaya dapat membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat negara ini. Namun dalam hal kilang pemprosesan nadir bumi ini, peluang pekerjaan yang dibuka adalah sebanyak 350 sahaja. Langsung tidak berbaloi dan tidak akan memberikan impak ekonomi yang diharapkan. Membina kilang tetapi ianya tidak membantu rakyat langsung? Inikah yang diharapkan oleh pihak parti kerajaan terhadap rakyat?
       Selain itu, pengecualian cukai selama 12 tahun. Ini adalah yang paling tidak rasional. Kita terlalu baik sampaikan industri yang menghasilkan sisa buangan radioaktif diberikan pengecualian cukai walaupun industri tersebut dianggarkan akan membuat untung berbillion ringgit pada tahun pertama pembukaannya. Bila negara tidak dapat satu sen pun daripada industri yang sememangnya membahayakan rakyat ini, apa gunanya kita berikan mereka lesen untuk beroperasi di negara kita? Fikirkanlah.
        Kesimpulannya, projek membina tapak pemprosesan nadir bumi ini sangatlah tidak sesuai dan berisiko tinggi. Sebagai rakyat tentanglah projek ini habis-habisan. Isu projek membina tapak pemprosesan nadir bumi perlu diselesaikan dengan bukti saintifik, bukan dengan emosi dan kepentingan politik. Ini adalah untuk kebaikan kita bersama sebagai rakyat Malaysia. Politik menjadi kita buta menentang segalanya ibarat apabila pilihanraya akan menang 100%. Sebagai rakyat yang bijak kita mesti pandai menilai jangan sampai digunakan oleh pemimpin politik yang mempunyai kepentingan peribadi.  Mereka jadi kaya raya tetapi kita penyokong tegar tetap sama macam ini. Kuasa politik dan duit sudah biasa menjadikan manusia terlupa dan lalai. Renung-renungkanlah.

                              Online Journalism Dan Print Journalism
 
            Kewartawanan bermaksud usaha mengumpul bahan, menulis, menyunting dan menerbitkan bahan-bahan tersebut dalam akhbar, majalah, televisyen, radio atau internet. Wartawan ialah orang yang bertugas dalam bidang kewartawanan, sama ada kewartawanan akhbar, majalah, televisyen, radio atau pun internet. Terdapat dua jenis kewartawanan, iaitu kewartawanan cetak dan kewartawanan elektronik. Kewartawanan cetak bermaksud pengumpulan bahan, menulis dan menerbitkannya dalam media cetak seperti akhbar atau majalah manakala kewartawanan elektronik pula merujuk kepada usaha mengumpul bahan, menulis dan menyiarkannya dalam media elektronik sama ada TV, radio atau internet.

            Seperti yang kita semua ketahui, ‘online journalism’ dan ‘print journalism’ kini berada di persimpangan dan kedua-duanya adalah dalam proses membuat keputusan bagaimana mereka boleh meningkatkan mutu dan krediabiliti dalam menyampaikan dan merencanakan sesebuah cerita atau berita. Masa depan kewartawanan kini sedang dipertikaikan di mana mereka bersaing dalam dua talian iaitu secara terus di dada-dada akhbar atau secara talian dalam mengeluarkan sesebuah berita. Segala bentuk maklumat yang bertapak di internet, pengguna dan pembaca boleh mendapatkan berita terbaru di Google, yang dikemaskini dari minit ke minit. Maka jika ‘online journalism’ kononnya lebih cepat, lebih murah dan lebih mudah, bagaimana pula dengan ‘print journalism’ boleh hidup selain hanya dengan aliran dan menyesuaikan gaya mereka dengan menulis untuk pembaca yang selaras dengannya? Adakah mereka dilabelkan sebagai wartawan yang ketinggalan dek zaman? Ataukah mereka akan beralih arah ke ‘online journalism’? Bagaimana pula dengan nasib media cetak? Adakah media cetak seperti surat khabar masih diterima ramai?
            Walaupun terdapat perbezaan dari segi tumpuan kandungan, peranan yang dimainkan oleh kedua-dua bentuk kewartawanan ini adalah penting. Keberkesanan liputan berita di internet dalam menyampaikan maklumat dan berita kepada orang ramai dengan pantas dan terkini sudah tentu lebih berkesan dibandingkan dengan liputan yang dibuat akhbar yang biasanya disiarkan pada keesokan hari. Namun akhbar mampu pula melaporkan secara terperinci akan sesuatu peristiwa. Malah sebahagian besar kandungan akhbar adalah berita dan maklumat. Dengan kata lain sasaran media elektronik adalah kepada selesa pendengaran dan tontonan, sementara media cetak adalah kepada pembacaan. Tugas menghasilkan berita sama ada untuk media cetak atau elektronik adalah terletak pada wartawan. Wartawanlah yang bertanggungjawab terhadap setiap berita yang disiarkan oleh kedua-dua media ini. Bagi media elektronik seperti internet, kejayaan atau keberkesanan peranan yang dimainkannya amat bergantung kepada mutu dan skop liputan siaran beritanya, manakala bagi media cetak pula tidak dapat dinafikan bahawa beritalah yang melambangkan kejayaan sesebuah akhbar atau majalah.
              Kewartawanan dalam talian ataupun dipanggil ‘online journalism’ adalah suatu evolusi, lebih mudah, cepat dan pantas untuk diterbitkan dalam talian. Bandingkan jika sekarang kelajuan berita yang diterbitkan di seluruh dunia dan kita melihat bahawa kelajuan berita tidak semestinya lebih benar daripada ketika itu. Kebanyakan pengguna internet akan bersetuju bahawa berita di internet adalah jauh di hadapan daripada kewartawanan percetakan. Kewartawanan dalam talian membolehkan pembaca untuk menggali lebih mendalam dalam teks supaya mereka boleh melihat video, mencari gambar atau pun melawat pautan berkenaan cerita atau laman web yang berkaitan dengan apa yang ingin mereka lihat. Tetapi bagaimana pula kita sebelum ini jika tanpa kewartawanan percetakan? Bagaimana pula dengan ciptaan mesin cetak yang telah mengubah perjalanan sejarah dalam dunia percetakan? Mesin cetak telah lama diamalkan dalam  beberapa abad sebelum ini yang telah membantu orang ramai dalam mendapatkan sesuatu berita dan informasi.
                 Apabila kita menganggap bahawa tujuan kewartawanan adalah untuk mendapatkan berita dengan cepat dan seberapa tepat yang mungkin, tidak ada yang berubah. Kita sibuk membandingkan dan membuat komen mengenai perbezaan tentang kewartawanan cetak berita dan kewartawanan internet, cuma perbezaannya ialah sistem penyampaian, yang tidak ada kena mengena dengan kualiti kedua-dua. Kewartawanan dalam talian adalah suatu evolusi, lebih mudah untuk diterbitkan dalam talian berbanding kewartawanan cetak.

                    Kesimpulannya, untuk menghasilkan berita yang bernilai tinggi dan mendapat kredibiliti daripada masyarakat, seseorang wartawan itu perlulah mengikut etika kewartawanan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Etika amat penting dalam diri wartawan kerana ia boleh menentukan samaada wartawan tersebut jujur atau sebaliknya dalam penyebaran maklumat kepada orang ramai tidak kiralah sama ada secara percetakan atau pun elektronik.