Monday, May 28, 2012


                              Online Journalism Dan Print Journalism
 
            Kewartawanan bermaksud usaha mengumpul bahan, menulis, menyunting dan menerbitkan bahan-bahan tersebut dalam akhbar, majalah, televisyen, radio atau internet. Wartawan ialah orang yang bertugas dalam bidang kewartawanan, sama ada kewartawanan akhbar, majalah, televisyen, radio atau pun internet. Terdapat dua jenis kewartawanan, iaitu kewartawanan cetak dan kewartawanan elektronik. Kewartawanan cetak bermaksud pengumpulan bahan, menulis dan menerbitkannya dalam media cetak seperti akhbar atau majalah manakala kewartawanan elektronik pula merujuk kepada usaha mengumpul bahan, menulis dan menyiarkannya dalam media elektronik sama ada TV, radio atau internet.

            Seperti yang kita semua ketahui, ‘online journalism’ dan ‘print journalism’ kini berada di persimpangan dan kedua-duanya adalah dalam proses membuat keputusan bagaimana mereka boleh meningkatkan mutu dan krediabiliti dalam menyampaikan dan merencanakan sesebuah cerita atau berita. Masa depan kewartawanan kini sedang dipertikaikan di mana mereka bersaing dalam dua talian iaitu secara terus di dada-dada akhbar atau secara talian dalam mengeluarkan sesebuah berita. Segala bentuk maklumat yang bertapak di internet, pengguna dan pembaca boleh mendapatkan berita terbaru di Google, yang dikemaskini dari minit ke minit. Maka jika ‘online journalism’ kononnya lebih cepat, lebih murah dan lebih mudah, bagaimana pula dengan ‘print journalism’ boleh hidup selain hanya dengan aliran dan menyesuaikan gaya mereka dengan menulis untuk pembaca yang selaras dengannya? Adakah mereka dilabelkan sebagai wartawan yang ketinggalan dek zaman? Ataukah mereka akan beralih arah ke ‘online journalism’? Bagaimana pula dengan nasib media cetak? Adakah media cetak seperti surat khabar masih diterima ramai?
            Walaupun terdapat perbezaan dari segi tumpuan kandungan, peranan yang dimainkan oleh kedua-dua bentuk kewartawanan ini adalah penting. Keberkesanan liputan berita di internet dalam menyampaikan maklumat dan berita kepada orang ramai dengan pantas dan terkini sudah tentu lebih berkesan dibandingkan dengan liputan yang dibuat akhbar yang biasanya disiarkan pada keesokan hari. Namun akhbar mampu pula melaporkan secara terperinci akan sesuatu peristiwa. Malah sebahagian besar kandungan akhbar adalah berita dan maklumat. Dengan kata lain sasaran media elektronik adalah kepada selesa pendengaran dan tontonan, sementara media cetak adalah kepada pembacaan. Tugas menghasilkan berita sama ada untuk media cetak atau elektronik adalah terletak pada wartawan. Wartawanlah yang bertanggungjawab terhadap setiap berita yang disiarkan oleh kedua-dua media ini. Bagi media elektronik seperti internet, kejayaan atau keberkesanan peranan yang dimainkannya amat bergantung kepada mutu dan skop liputan siaran beritanya, manakala bagi media cetak pula tidak dapat dinafikan bahawa beritalah yang melambangkan kejayaan sesebuah akhbar atau majalah.
              Kewartawanan dalam talian ataupun dipanggil ‘online journalism’ adalah suatu evolusi, lebih mudah, cepat dan pantas untuk diterbitkan dalam talian. Bandingkan jika sekarang kelajuan berita yang diterbitkan di seluruh dunia dan kita melihat bahawa kelajuan berita tidak semestinya lebih benar daripada ketika itu. Kebanyakan pengguna internet akan bersetuju bahawa berita di internet adalah jauh di hadapan daripada kewartawanan percetakan. Kewartawanan dalam talian membolehkan pembaca untuk menggali lebih mendalam dalam teks supaya mereka boleh melihat video, mencari gambar atau pun melawat pautan berkenaan cerita atau laman web yang berkaitan dengan apa yang ingin mereka lihat. Tetapi bagaimana pula kita sebelum ini jika tanpa kewartawanan percetakan? Bagaimana pula dengan ciptaan mesin cetak yang telah mengubah perjalanan sejarah dalam dunia percetakan? Mesin cetak telah lama diamalkan dalam  beberapa abad sebelum ini yang telah membantu orang ramai dalam mendapatkan sesuatu berita dan informasi.
                 Apabila kita menganggap bahawa tujuan kewartawanan adalah untuk mendapatkan berita dengan cepat dan seberapa tepat yang mungkin, tidak ada yang berubah. Kita sibuk membandingkan dan membuat komen mengenai perbezaan tentang kewartawanan cetak berita dan kewartawanan internet, cuma perbezaannya ialah sistem penyampaian, yang tidak ada kena mengena dengan kualiti kedua-dua. Kewartawanan dalam talian adalah suatu evolusi, lebih mudah untuk diterbitkan dalam talian berbanding kewartawanan cetak.

                    Kesimpulannya, untuk menghasilkan berita yang bernilai tinggi dan mendapat kredibiliti daripada masyarakat, seseorang wartawan itu perlulah mengikut etika kewartawanan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Etika amat penting dalam diri wartawan kerana ia boleh menentukan samaada wartawan tersebut jujur atau sebaliknya dalam penyebaran maklumat kepada orang ramai tidak kiralah sama ada secara percetakan atau pun elektronik.

No comments:

Post a Comment