Monday, May 28, 2012


Perlukah Tapak Pemprosesan Nadir Bumi Diteruskan?

       Sejak kebelakangan ini, banyak isu ditimbulkan oleh parti pembangkang mengenai tapak pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan melalui akhbar dan media baru. Antara isu yang ditimbulkan termasuk isu pencemaran air dan udara juga isu tahap pencemaran radioaktif. Kita percaya kepada kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan dan pendapat. Pihak pembangkang telahpun menggunakan hak mereka biarpun sekadar menaburkan fitnah dengan memperbesar-besarkan isu berkenaan untuk kepentingan peribadi dan politik mereka. Pihak kerajaan dan pro kerajaan juga dengan bebasnya telah berhempas pulas mempertahankan bahawa kilang tersebut bukanlah reaktor nuklear dan tidaklah sebagaimana bahaya seperti yang digambarkan oleh pembangkang. Namun tentunya ada pihak ke-3, yang juga ingin menggunakan hak-haknya untuk menyatakan pendapatnya dalam negara demokrasi ini. Wahai rakyat mari lah kita ‘buka mata, buka minda, buka hati’.
    Ada yang mengatakan bahawa tapak Gebeng tidak sesuai untuk didirikan kilang kerana ia adalah kawasan paya. Adakah itu benar? Apakah yang mereka faham mengenai kilang tersebut? Adakah benar ia tidak sesuai atau pun memberi manfaat pada rakyat? Dimanakah faktanya? Seperti yang kita tahu, mengenai projek Lynas, sudah tentu ia mencipta kegerunan yang besar terhadap rakyat, khususnya rakyat Kuantan apabila diceritakan bahawa ianya adalah berbahaya dan mendatangkan keburukan kepada rakyat. Tapi sebenarnya, setakat ini, hanya itu sahaja bukti yang pihak pembangkang kemukakan. Tiada kajian saintifik, atau kajian makmal untuk menyokong dakwaan pembangkang. Soalnya, adakah fakta ini diceritakan oleh pembangkang yang asyik dengan lagu ‘kebebasan dan ketelusan media serta kebebasan bersuara’ tapi pada masa yang sama menyekat segala benda ini dari pihak mereka? Mampukah pihak pembangkang mempertahankan pendapat mereka?
       Walaubagaimanapun, apa yang kurang dititikberatkan dalam projek ini ialah keputusan yang dibuat oleh individu untuk mengeluarkan lesen pembinaan kilang tersebut pada tahun 2008 dibuat tanpa pengetahuan orang awam, termasuklah rakyat Pahang itu sendiri. Apabila negara memberikan lesen kepada syarikat luar untuk membuka kilang pemprosesan mereka, harapan kita adalah supaya dapat membuka peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat negara ini. Namun dalam hal kilang pemprosesan nadir bumi ini, peluang pekerjaan yang dibuka adalah sebanyak 350 sahaja. Langsung tidak berbaloi dan tidak akan memberikan impak ekonomi yang diharapkan. Membina kilang tetapi ianya tidak membantu rakyat langsung? Inikah yang diharapkan oleh pihak parti kerajaan terhadap rakyat?
       Selain itu, pengecualian cukai selama 12 tahun. Ini adalah yang paling tidak rasional. Kita terlalu baik sampaikan industri yang menghasilkan sisa buangan radioaktif diberikan pengecualian cukai walaupun industri tersebut dianggarkan akan membuat untung berbillion ringgit pada tahun pertama pembukaannya. Bila negara tidak dapat satu sen pun daripada industri yang sememangnya membahayakan rakyat ini, apa gunanya kita berikan mereka lesen untuk beroperasi di negara kita? Fikirkanlah.
        Kesimpulannya, projek membina tapak pemprosesan nadir bumi ini sangatlah tidak sesuai dan berisiko tinggi. Sebagai rakyat tentanglah projek ini habis-habisan. Isu projek membina tapak pemprosesan nadir bumi perlu diselesaikan dengan bukti saintifik, bukan dengan emosi dan kepentingan politik. Ini adalah untuk kebaikan kita bersama sebagai rakyat Malaysia. Politik menjadi kita buta menentang segalanya ibarat apabila pilihanraya akan menang 100%. Sebagai rakyat yang bijak kita mesti pandai menilai jangan sampai digunakan oleh pemimpin politik yang mempunyai kepentingan peribadi.  Mereka jadi kaya raya tetapi kita penyokong tegar tetap sama macam ini. Kuasa politik dan duit sudah biasa menjadikan manusia terlupa dan lalai. Renung-renungkanlah.

No comments:

Post a Comment