Monday, May 28, 2012

Dugaan Jambatan Ke Jalan Lebih Baik...

            Di sini, tepat pukul 3.00 pagi, bersamaan hari Selasa, aku ingin mengisi ruangan yang disediakan khas buat penggemar atau pelayar Myspace, Facebook, Twitter, Blog dan sebagainya terutama pada golongan remaja untuk berkongsi pengalaman yang dilalui sepanjang perjalanan sebagai hambaNya. Keseronokan ada kalanya membawa manusia alpa dan terus terleka di buai rasa-rasa indah yang entah sampai bila ia akan terus kekal. Manusia hanya akan tersedar dari khayalan dan mimpi siang saat duka datang bertamu..
         Seperti apa yang pernah aku lalui, di usia yang masih muda, aku hanyut dan terleka dengan keseronokan yang datang menghiasi hari-hari ini. Perasaan seolah-olah hidup di dalam dunia maya sendiri membuatkan aku tidak pernah terfikir kegembiraan itu tidak akan dirasai buat selamanya. Mungkin apa yang aku lalui ini, sama seperti remaja di luar sana yang sentiasa inginkan kegembiraaan dan keseronokan selagi usia remaja masih meniti kehidupan.
          Mungkin Tuhan ingin membuka mata ini dan cuba menyelamatkan diri ku dengan menurunkan sebentuk dugaan yang memang hebat untuk ditanggung kudrat kecil ku ini. Jika dahulu, kebahagiaan mengiringi hari demi hari ku, tetapi kini dugaan datang bertimpa-timpa yang membuatkan aku semakin hari semakin  lemas. Cuba mencari dahan untuk berpaut tetapi ia bukanlah tempat yang sepatutnya, lantas membuatkan aku terus tersungkur lagi dan lagi.
            Di segenap ruang kecil di kamar, aku menangis kuat dan bertanya kepada diri sendiri, kenapa dan mengapa semua ini berlaku. Kenapa aku yang di duga, kenapa tidak kau, dia, atau mereka? Kenapa aku yang sakit dan bukan dia? Bukan niat menyalahkan takdir tetapi sekadar cuba membawa pemikiran berfikir secara logik. Tuhan tidak akan menguji kita tanpa sebarang sebab.
          Akhirnya aku akui, dugaan yang perit itu sebenarnya adalah jambatan-jambatan kecil buat aku menuju ke jalan yang lebih baik. Selepas dari kejadian-kejadian itu, aku cuba menerima dugaan-dugaan hati yang lebih terbuka dan sentiasa berfikiran positif. Ia ternyata mampu memberikan motivasi buat diri untuk menjadi lebih baik dari apa yang pernah di lalui sebelum ini.
            Sebagai manusia yang pernah melalui zaman remaja, mungkin aku memahami naluri remaja yang sentiasa ingin mencuba, bergembira dan berseronok. Tidak ada salahnya untuk merasai dan menikmati kegembiraan dan keseronokan, tetapi batas-batasnya tetap harus di jaga agar kita manusia yang merupakan hambaNya tidak terus terleka dek kerana keseronokan duniawi yang dinikmati. Amin....

No comments:

Post a Comment